Semoga Negara Malaysiaku Terus Aman

Semoga Negara Malaysiaku Terus Aman

Tuesday, 18 September 2012

CIPTA Semarak Semangat Patriotik


NILAI – “Gempak” begitulah suasana yang dapat digambarkan di Festival Cipta Lagu Patriotik 2012 (CIPTA) hasil kolaborasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Dewan Majlis Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bertempat di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan pada 15 September yang lalu.
Festival yang bertemakan “Ke Puncak 1 Malaysia” adalah program tahunan berjiwa Malaysia sejak tahun 2008 mampu mengetengahkan bakat mahasiswa dan penghuni penjara dalam menghasilkan lirik dan lagu patriotik disamping menyemarakkan lagi rasa cintakan negara.

Sebanyak Lapan lagu patriotik telah dipertandingkan di festival CIPTA pada kali ini dengan membariskan finalis dari mahasiswa Unit Kebudayaan Pelajar (UKP) USIM dan warga penjara serta diiringi pemuzik dari Orkestra DBKL.

Lirik Mohd Noor Mohd Sharif dengan gandingan komposer Aizatul Ain Ismail dan Alaudin Yahaya dinobatkan sebagai juara dan berjaya membawa pulang RM3000 beserta piala iringan menerusi lagu “Mencarimu Malaysia” yang dinyanyikan oleh Norshahril Sabaruddin, pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM.
 Tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM2000 dan piala iringan dimenangi oleh lagu Bunga Raya hasil nukilan Muhamad Fauzi Ali dan komposer Wan Aminuddin Wan Ismail yang dinyanyikan sendiri oleh beliau. Manakala tempat ketiga dirangkul oleh lagu gubahan Mohamad Hafiz Bidi dan karya Syahrul Hisyam Hanafiah dengan lagu Pejuang Negara oleh pasangan duet Muhammad Syahir Hazmi Ismail dan Mohd Nurhakimi Mad Yaman dengan hadiah wang tunai sebanyak  RM1000 serta piala iringan.

Festival CIPTA pada kali ini berjaya mencapai objektifnya yang ingin menyemarakkan aktiviti pembangunan sahsiah dan melahirkan warga al-Abrar dikalangan mahasiswa USIM sendiri.
“Pada pendapat saya CIPTA merupakan program yang baik khususnya pada golongan muda yang mana berjaya melahirkan lagu dan irama kreatif berbentuk patriotik,” kata Ramlan Imam selaku ketua juri.
Menurut beliau lagi, program seperti ini mampu menarik minat orang muda khususnya mahasiswa dalam menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam diri mereka.
Festival gilang gemilang itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengajian Tinggi, YBhg. Datuk Haji Omar Abdul Rahman, dan Ketua Pengarah Penjara Malaysia, KJP Datuk Wira Zulkifli Omar. Turut hadir sama Naib Canselor USIM, Profesor Dato Dr. Muhamad Muda,

Majlis pada malam itu turut dimeriahkan dengan kemunculan artis terkenal tanah air seperti Hazama, Siso dan Ally Iskandar sebagai pengacara. Ally yang bergandingan bersama mahasiswi USIM, saudari Nurnadhirah Mohd Azkah yang meraih anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival MAKUM 2012 baru-baru ini turut berjaya mencuit hati para penonton yang memenuhi stadium pada malam itu.

Oleh:
Eb. Syazwani Sazali dan Eb. Ku Norasyikin Ku Ahmad

Sumber: Sini

No comments:

Post a Comment