SEREMBAN 11 Sept. - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mahu semua mahasiswa di negeri ini cekal dalam menimba ilmu, tidak bersikap hipokrit dan mementingkan diri sendiri.
Kata beliau, asas menjadi cemerlang adalah ilmu dan sebab itu mahasiswa perlu mencari sebanyak mungkin ilmu bukan sahaja berkaitan duniawi tetapi akhirat.
"Belajar betul-betul, kerana sekarang ini ramai orang yang berpelajaran tetapi tiada ilmu. Jadi dalam masa kita belajar, kita cari juga ilmu untuk kehidupan," katanya di Nilai, dekat sini baru-baru ini.
Mohamad berkata demikian pada majlis penyampaian ucapan amanat dan menerima lafaz aku janji pelajar baru sarjana muda sempena Hari Taaruf Sesi Akademik 2012/2013 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Stadium Tertutup Nilai.
Tambah Mohamad, kejayaan bukan milik seorang tetapi milik semua dan atas hakikat itu setiap pelajar hendaklah bersama-sama membina keyakinan mencapai kecemerlangan.
"Kita mesti ada keyakinan diri dan hendaklah berada pada tahap yang tinggi kerana ini akan membantu untuk berjaya. Jangan berasa rendah diri atau terlalu mudah mengaku kalah.
"Biarlah kita dari kampung sekali pun, kejayaan tetap bersama kita," tegas Mohamad.
Katanya, menjadi hasrat beliau melihat generasi yang akan mengurus tadbir negeri dan negara kelak mempunyai jati diri yang kuat, ilmu yang baik dan bermanfaat kepada masyarakat.
"Kita tidak mahu pengganti kelak yang ada ilmu merosakkan masyarakat, agama, bangsa dan negara. Janganlah kita belot dan merosakkan tangan yang memberi kita makan.
"Jangan berpecah, jaga bangsa, agama dan tanah air ini supaya ia kekal aman dan sejahtera," kata Mohamad.
Pada sesi akademik 2012/2013 ini seramai 1,908 mahasiswa baru mendaftar mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan di USIM.
Sumber
No comments:
Post a Comment